Sudah lama aku menyepikan diri.
Sudah lama aku pendam rasa pedih.
Hari ini sudah tanggal tiga pada tahun dua kosong satu empat. Kisah lama sudah pergi dibawa arus waktu. Kisah dulu yang banyak memberi pengajaran. Kisah silam yang banyak memberi ketawa riang dan nangis tawar. Semuanya sudah berlalu.
Aku masih ingat tahun dua kosong satu tiga, tahun yang merapatkan aku dengan sahabatku. Bermula awal tahun hingga ke penghujung tahun kami masih bersama, melakukan aktiviti bersama. Ketawa, menangis, berjaya, gagal semuanya kami tempuhi bersama. Allah sudah memberikan waktu untuk kami bersama kembali seperti zaman persekolahan dahulu. Itulah detik dan saat yang aku amat hargai kerana aku tahu dia masih menyayangi dan mengganggap aku sahabatnya. Sahabat sejati dunia akhirat.
Aku masih ingat tahun dua kosong satu tiga, tahun yang sangat indah buat diriku. Dia banyak korbankan masanya untuk diriku. Kami berkongsi cerita hingga lewat malam. Kami saling mengingati antara satu sama lain tentang kesalahan dan kesilapan yang kami sendiri lakukan. Dia sanggup berusaha mencari jalan untuk bertemu dengan diriku. Dia sempat membuat kejutan untuk bersua denganku. Dia banyak menghadiahkan aku dengan makanan yang aku gemari. Dia terlalu banyak berkorban buat diriku. Masih menyulam kasih sayang.
Aku masih ingat tahun dua kosong satu tiga, tahun yang membuka mataku untuk mengenali orang luar dan orang jauh. Aku mula memasuki dunia remaja yang sebenar. Mula mengenali dunia luar yang penuh dengan misteri dan pahitnya. Mula mencipta satu kenangan. Sekarang aku sudah mempunyai keluarga besar. Keluarga yang di mana mereka sentiasa bersama aku. Mereka yang menceriakan aku saban hari. Kami cuba mendalami setiap satu perangai dan kami akan betulkan keadaan sebelum hari berganti. Kami akan terus berkongsi sesuatu kerana itu yang merapatkan kami. Mereka bagaikan adik beradik yang baru untuk aku.
Cerita lama kadang kala buat aku senyum sendiri, kadang kala buat aku menangis seorang diri, kadang kala penuh keajaiban yang tidak disangka sangka dan kadang kala membuatkan hati aku pedih dan perit untuk menerima itu sebagai realiti.
Permulaan tahun dua kosong satu empat, satu persatu aku rasa seperti tidak dihargai lagi. Rasa diri ini tidak layak untuk mendampingi sesiapa. Rasa diri perlu hidup dalam dunianya sendiri dan mengenal dirinya yang sebenarnya. Jauh di sudut hati aku, aku masih meyayangi semua orang yang pernah bersama aku dulu sehingga kini. Masih menyayangi dan merindui mereka.
Air mata yang mengalir tiada siapa yang sanggup menyapu dan membuangnya kerana air mata yang mengalir dari wajah seseorang itu lahir dari hatinya.
Salam Dua Kosong Satu Empat.
Salam 1 Rabiulawal 1435 Hijrah.
Maaf dan Terima kasih.
NnabilahR :)